Tiada atlet dipecat, sebaliknya tidak diperbaharui kontrak – Ahmad Faizal

0
1

MENTERI Sukan dan Belia, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan bahawa atlet-atlet di dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) tidak dipecat sebaliknya mereka tidak diberikan tawaran kontrak yang baharu.

Beliau berkata, perkara itu merupakan kelaziman dalam proses penilaian serta pengurusan atlet dan ia bukan sahaja dilaksanakan di Malaysia.

Katanya, penilaian bagi tawaran kontrak baharu atlet dibuat berdasarkan kepada prestasi semasa atlet menerusi kriteria pemilihan atlet yang ketat dan dibincangkan secara bersama.

“Perbincangan bersama menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) yang membabitkan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Kementerian Pendidikan (KPM) serta agensi-agensi yang berkaitan.

“Suka saya ingatkan KBS melalui MSN tidak bertindak sendiri dan mendapat perakuan daripada PSK,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) berhubung isu 144 atlet digugurkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, penyusunan semula program persediaan atlet bagi 2022 dilakukan berikutan suntikan dana untuk Program Podium sebanyak RM60 juta setahun dan RM240 juta bagi tempoh empat tahun.

“Ini akan menunjukkan peningkatan bilangan atlet daripada 321 atlet kepada 776 atlet iaitu peningkatan sebanyak 142 peratus.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 346 atlet (262 atlet normal dan 84 atlet para) daripada 26 jenis sukan telah menerima tawaran kontrak baharu bagi menjalani program latihan sepenuh masa pada tahun ini.

“Manakala, seramai 430 atlet (235 atlet normal dan 195 atlet para) daripada 26 jenis sukan akan menjalani program latihan secara berfasa. Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah program latihan, jurulatih, kemudahan latihan, penginapan dan makan,” katanya.

Beliau berkata, bagi sukan yang tidak disenaraikan di bawah Program MSN dan penyertaan tertumpu kepada Sukan SEA Vietnam sahaja, mereka ini akan turut diberikan bantuan secara geran.

“Seramai 154 atlet normal daripada 11 jenis sukan dan 119 atlet para daripada 11 jenis sukan akan menerima manfaat tersebut.

“Satu Skim Elaun Latihan Atlet baharu telah diperkenalkan bertujuan menyelaras semula kadar yang ditetapkan agar persekitaran yang lebih kompetitif diwujudkan di kalangan atlet,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal memaklumkan kadar baharu Skim Elaun Atlet bagi atlet normal dan para adalah seperti berikut:

i.Sukan Olimpik/ Paralimpik
Emas : RM7,500, Perak : RM7,000 dan Gangsa : RM6,500

ii.Sukan Asia/ Para Asia/ Komanwel
Emas : RM4,500, Perak : RM4,000 dan Gangsa : RM3,500

iii.Sukan SEA/ Para ASEAN Emas : RM2,000, Perak : RM1,500 dan Gangsa : RM1,000

Sementara itu, menjawab mengenai mengenai kriteria untuk mengenal pasti ‘atlet yang berpotensi memenangi pingat’, Ahmad Faizal berkata, ia termasuk mengambil kira prestasi yang dipamerkan atlet sejak 2018.

“Selain itu, turut dinilai rekod-rekod pencapaian di kejohanan-kejohanan antarabangsa yang dikenalpasti dan temasya-temasya sukan utama

“Serta catatan rekod semasa (masa atau jarak); dan kedudukan (ranking) di Persatuan Sukan Antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here