MoU terbatal, ini masanya laksana PRU – Annuar Musa

0
1
annuar musa

TINDAKAN pembangkang meminta undi belah bahagi sehingga usul yang dibawa kerajaan kalah dalam undian di Dewan Rakyat hari ini menyebabkan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang automatik terbatal dengan sendirinya. 

Perkara itu dijelaskan oleh Tan Sri Annuar Musa yang berkata, berdasarkan Perkara 3.3(b), MoU antara pembangkang dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyebut bahawa pihak Pakatan Harapan (PH) bersetuju akan “mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam apa apa usul yang dikemuka oleh kerajaan.

“Ertinya berjanji tidak akan menolak usul kerajaan. 

“Namun hari ini 23hb Feb 2022 pihak PH telah melanggar MoU tersebut, dengan secara mengejut meminta undi belah bagi, bagi satu usul yang dibawa oleh Menteri KDN, di mana pihak PH telah mengundi menolak usul tersebut.

“Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MoU berkenaan,” katanya di Facebook, hari ini. 

Terdahulu, kerajaan gagal mendapat  sokongan undi Ahli Parlimen untuk meluluskan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat, petang tadi. 

Dalam undian belah bahagi, 86 Ahli Parlimen tidak menyokong berbanding 84 menyokong untuk mengizinkan penahanan 28 hari tahanan tanpa perbicaraan. 

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional itu berkata, isyarat yang diberi pembangkang itu bakal memudahkan tugas Perdana Menteri mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sekaligus memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan. 

“Dan ini satu “blessing in disguise” kerana YAB PM kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MoU tersebut.

“Ini akan memudahkan lagi tanggungjawab YAB PM (dengan perkenan YDPA) melaksanakan mandat Perhimpunan Agung Umno terutama berkaitan pembubaran Parlimen,” katanya. 

Justeru, Annuar berkata, PRU15 boleh didesak diadakan segera yang sememangnya selari dengan ketetapan PAU 2021 baru-baru ini. 

“Ianya juga membolehkan kita segerakan PRU, selari dengan keputusan PAU tempoh hari.

“Gantung MoU! Jom! Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU15,” katanya.  -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here