Malaysia iktiraf sijil vaksinasi Vietnam

0
1

MALAYSIA bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi dari Vietnam secara timbal balas selepas negara itu turut melakukan tindakan sama pada Ogos lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia diputuskan selepas pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya di Vietnam, Pham Minh Chinh, menerusi lawatan rasmi ke negara itu sejak Ahad lalu.

Katanya, kedua-dua negara juga bersetuju mengadakan integrasi aplikasi MySejahtera Malaysia bersama PC COVID Vietnam.

“Vietnam sudah membuka sempadan antarabangsa mereka pada 15 Mac, manakala Malaysia juga membuat keputusan untuk membuka sempadan dan beralih kepada Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini.

“Justeru, saya mengutarakan beberapa inisiatif kerjasama baharu di samping meningkatkan kerjasama sedia ada ke tahap lebih tinggi.

“Dalam aspek vaksinasi, Malaysia bersetuju mengiktiraf sijil vaksinasi dari Vietnam bukan sahaja berdasarkan kepada amalan timbal balas, tetapi mengambil kira yang negara itu menggunakan jenis vaksin Covid-19 diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri ke Vietnam sejak Ahad lalu itu mencerminkan kepentingan hubungan negara jiran dan rakan kongsi dalam ASEAN, dengan kedua-dua negara bakal menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2023.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri, berkata, bagi memperingati ulang tahun itu, beliau mencadangkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi negara itu, yang akan dimulai lawatan negara Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc ke Malaysia tahun ini.

Jelasnya, dalam usaha meningkatkan Perkongsian Strategik, beliau akan menggariskan pendekatan menyeluruh dalam hubungan kedua-dua negara, baik di peringkat kerajaan mahupun masyarakat, perniagaan, serta hubungan sesama rakyat.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Vietnam sangat komited untuk terus melaksanakan kerjasama yang terangkum dan komprehensif di bawah Pelan Tindakan (POA) 2021 hingga 2025 menerusi Pelaksanaan Perkongsian Strategik Malaysia dan Vietnam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here