KKM sudah denda Kit Siang, Najib pula bila nak bayar kompaun – KJ

0
1
kj khairy jamaluddin vaksin

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan telah mengeluarkan kompaun terhadap Mentor DAP, Lim Kit Siang.

Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini, bagi menjawab kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempersoal mengapa Kit Siang tidak dikompaun.

Ia selepas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa Kongres Kebangsaan Ke-17 DAP di ibu negara kelmarin.

Pada masa sama, Khairy mengingatkan Najib agar membayar satu kompaun dikeluarkan KKM terhadapnya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

“Kompaun sudah dikeluarkan kepada @limkitsiang. KKM juga harap @NajibRazak bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN Johor yang masih belum settle (selesai).

“KKM juga harap @NajibRazak menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai Datuk Seri enggan terima sebelum ini,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini.

Semalam Najib mempersoalkan mengapa Kit Siang tidak dikompaun kerana berpelukan dengan ahli DAP ketika Kongres parti.

Ia susulan laporan bahawa Kit Siang dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir majlis berkenaan disahkan positif Covid-19 semalam.

Meskipun mendoakan supaya Kit Siang cepat sembuh, Najib sempat membidas veteran DAP itu kerana dikatakan melanggar SOP apabila berpelukan selepas pengumuman untuk bersara daripada politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here