Kerajaan perlu segera selesai kemelut Sapura Energy, elak muflis – Najib

0
1

KERAJAAN tidak boleh menunggu lagi sekiranya mahu menyelesaikan kemelut Sapura Energy Bhd sekali gus mengurangkan risiko syarikat perkhidmatan minyak dan gas terbesar di Malaysia dan Asia itu muflis, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu, berkata penganalisis mengunjurkan nilai saham Sapura Energy akan jatuh ke paras bawah RM0.01.

“Ia bermakna hampir keseluruhan nilai pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) duit ASB sekitar RM4 bilion dalam syarikat ini bakal hangus,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, Najib berkata, Sapura Energy juga telah menerima berpuluh petisyen penggulungan dari mahkamah kerana tidak membayar vendor.

“Jika terpaksa gulung tikar, maka bank-bank tempatan (terutamanya Maybank yang juga 50 peratus milik PNB) akan terdedah kepada kerugian pinjaman sekitar RM10 bilion,” katanya.

Menurut Najib, tambahan kemudahan modal kerja Sapura Energy turut dibeku bank pada Oktober 2021.

“Jika sesebuah syarikat tidak mempunyai modal kerja maka mereka tidak mampu membayar ‘supplier’ serta pekerja dan tidak mengusahakan kontrak-kontrak sedia ada sehingga dikenakan penalti lewat oleh ‘customer’.

“Kekangan kewangan juga bermakna Sapura tidak layak untuk membida kontrak-kontrak baharu.

“Kerugian dan risiko akan bertambah setiap hari sekiranya masalah kecairan kewangan tidak diselesaikan,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Sapura Energy yang mencatatkan kerugian bersih luar biasa RM8.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 dijangka mengalami kerugian lebih besar bagi tahun kewangan semasa.

Syarikat itu dilaporkan sedang mengalami tekanan kecairan, apabila paras hutang dan pembayaran tertunggak terlampau tinggi, ditambah dengan kesukarannya mendapatkan kemudahan kredit, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Sean Lim berkata, Sapura Energy dijangka berdepan dengan unjuran kewangan masa hadapan yang sangat mencabar.

Beliau berkata, kegagalan menepati perjanjian kewangan tertentu, menyebabkan jumlah pinjaman RM10.7 bilion syarikat itu akan kekal sebagai liabiliti semasa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here