TANGGAL 22 MAC dipilih sebagai tarikh Hari Seniman peringkat Kebangsaan yang baharu bagi mengingati jasa-jasa seluruh penggiat seni budaya dan kreatif tanah air.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkata, pengiktirafan dan penghargaan kerajaan meraikan tarikh 22 Mac sebagai Hari Seniman adalah sempena tarikh kelahiran seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
“Semoga ini terus menyuntik semangat perjuangan seni sebagai sebuah sebuah Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
“Sesungguhnya, sumbangan berterusan para insan seni melalui karya dan produk yang bernilai dan berkualiti ini adalah wadah kepada kemajuan serta pembangunan industri seni budaya dan kreatif negara
“Terima kasih para seniman untuk jasa baktimu dan dipanjangkan doa untuk seluruh insan seni yang terdahulunya telah pergi meninggalkan kita,” kata Finas dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sebelum ini Hari Seniman Negara disambut pada 29 Mei sebelum ditukar ke 22 Mac setiap tahun.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, pindaan tersebut telah mendapat kelulusan daripada Memorandum Jemaah Menteri. – Malaysiapost

