KEBENARAN aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan kembali merancakkan industri sukan dan rekreasi negara.
Sambil menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman KPM itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata penglibatan guru dan murid dalam aktiviti sukan akan membawa pelbagai limpahan manfaat.
“KBS amat menyokong penuh pengumuman dibuat KPM di mana pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka di kawasan sekolah melibatkan guru dan murid kini dibenarkan mulai 21 Mac 2022.
“Kebenaran tersebut ternyata akan kembali merancakkan industri sukan dan rekreasi negara menerusi penglibatan guru dan murid di seluruh negara.
“Ia akan membawa dan menambah pelbagai limpahan manfaat termasuklah daripada perspektif ekonomi dan pembangunan bakat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah akan dibenarkan mulai sesi akademik 2022/2023.
Menurutnya, ia bagi memberi peluang kepada murid dan guru membiasakan diri dengan fasa transisi hidup bersama virus COVID-19 sebelum beralih ke fasa endemik.
Langkah itu satu perubahan diambil KPM memasuki sesi akademik baharu secara bersemuka, bermula hari ini.
Jun tahun lalu, KPM menetapkan tiada sebarang aktiviti sukan, kokurikulum dan perhimpunan dibenarkan di sekolah susulan pandemik Covid-19.
Sementara itu Ahmad Faizal memaklumkan pagi tadi beliau bersama Dr Radzi melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pakatan Jaya, Ipoh sempena hari pertama sesi baharu persekolahan. – Malaysiapost

