DBKL sambut baik cadangan had laju 30km/j dan 50km/j di pusat bandar KL

0
2

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berpandangan cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk melaksanakan had laju kenderaan 30km/j dan 50km/j di pusat bandar raya Kuala Lumpur sebagai baik.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata ini kerana ia meningkatkan lagi ciri-ciri
keselamatan pengguna jalan raya yang lain seperti penunggang basikal dan pejalan kaki.

“Cadangan ini mula diketengahkan melalui perjumpaan antara Ketua Lembaga Pengarah MIROS bersama Datuk Bandar
Kuala Lumpur pada Januari 2022.

“MIROS mengambil inisiatif ini berdasarkan Kempen Minggu Keselamatan Jalan Raya Global PBB Ke-Enam di mana had kelajuan 30km/j ini dapat mengurangkan kecederaan daripada kemalangan kepada golongan berisiko tinggi seperti
pejalan kaki, basikal dan motosikal.

“Ini mengambil kira keupayaan badan manusia yang boleh menahan impak kemalangan kurang daripada 30km/j,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan pandangan atau pendirian DBKL terhadap cadangan MIROS untuk melaksanakan had laju kenderaan 30kmj hingga 50kmj di kawasan terpilih, mengikuti langkah bandar raya Paris yang mewartakan had laju tersebut pada Ogos 2021.

Jalaluddin berkata, kawasan yang dicadangkan MIROS untuk diturunkan had kelajuan sedia ada berdasarkan Perintah Had Laju Bandaraya Kuala Lumpur 1989 adalah seperti berikut:

  • Kawasan perumahan, yang banyak tumpuan pejalan kaki dan basikal
  • Kawasan sekolah
  • Kawasan yang diwartakan 60km/j. Contohnya Jalan Bangsar dan Jalan Ampang

Menurutnya, contoh jalan-jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70km/j dan 80km/j tidak termasuk dalam skop kajian penurunan had laju oleh MIROS adalah:

  1. Jalan Tun Razak – 70km/j
  2. Jalan Loke Yew – 70km/j
  3. Jalan Syed Putra – 80km/j
  4. Lebuhraya Mahameru – 80km/j

“Bagaimanapun pada masa kini DBKL dimaklumkan kajian rintis terhadap kebolehlaksanaan cadangan had laju ini masih di dalam perincian serta penelitian oleh pihak MIROS.

“MIROS menjangkakan untuk menghantar kertas cadangan untuk melaksanakan kajian tersebut kepada DBKL pada separuh kedua tahun 2022. Hasil kajian ini akan menjadi penanda aras bagi kesesuaian dan pemilihan ciri-ciri kawasan/jalan untuk pelaksanaan cadangan had laju ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here