Kit Siang umum bersara dari politik

0
1

VETERAN DAP Lim Kit Siang, hari ini mengumumkan persaraannya selepas 56 tahun berkecimpung dalam arena politik tanah air.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, beliau juga menarik diri dari bertanding pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC). yang diadakan hari ini.

“Sila padamkan Nombor 39 dari senarai calon anda. Saya juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya Parlimen atau Negeri di masa hadapan.

“Saya telah berada dalam parti selama 56 tahun – dua hari lepas merupakan ulang tahun ke-56 parti kita – dan selama ini saya melihat bagaimana parti kita telah berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil yang mengambil bahagian pertama kali dalam pilihan raya umum tahun 1969.

“Sehingga menjadi sebuah parti politik utama yang berjaya menubuh kerajaan persekutuan serta mengambil alih kerajaan di tujuh negeri bersama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Kongres Kebangsaan DAP Ke-17, yang diadakan di Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru berlangsung merupakan satu peringatan yang penting bahawa ‘Impian Malaysia’ DAP yang mahu Malaysia menjadi sebuah negara bersatu padu, demokratik, adil dan berjaya yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa merupakan satu perjuangan politik jangka panjang.

“Dalam proses ini, kita menghadapi banyak kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan. Tapi kita mesti kekal dengan matlamat kita dan jangan sekali-kali berkompromi dari segi prinsip dan cita-cita.

“Kita mewakili harapan dan aspirasi rakyat Malaysia yang mahu melihat Malaysia berdiri megah di persada dunia kerana pencapaian kita dalam pelbagai bidang dan berjaya membina negara berlandaskan ciri-ciri kemajmukan yang sedia ada.

“Bukannya menjadi bahan jenaka atau diperli oleh masyarakat dunia kerana kita menjunam menjadi sebuah kleptokrasi, kakitokrasi dan negara yang gagal,” katanya.

Kit Siang berkata, DAP mesti mencetus semula harapan dan keyakinan terhadap masa depan kerana sama ada dapat memutar semula tren kemerosotan negara kita sejak setengah abad ini adalah bergantung kepada semua.

“Belum pernah lagi dalam sejarah DAP, semangat perpaduan, setiakawan, komitmen dan keazaman menjadi begitu penting dalam usaha kita untuk merealisasikan Impian Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

“Adalah penghormatan buat saya selama ini berpeluang – bersama-sama dengan rakyat malaysia yang patriotik samada di dalam atau di luar DAP – untuk berganding bahu sepanjang perjalanan untuk merealisasikan Impian Malaysia kita bersama.

“Usaha untuk merealisasikan Impian Malaysia mesti diteruskan sehingga berjaya, dan kini sampailah giliran anda semua untuk meneruskan perjuangan ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here