HOSPITAL Tunku Azizah (HTA) melakar sejarah apabila berjaya melakukan pembedahan memisahkan kembar siam yang bercantum pada bahagian dada termasuk bahagian hati dan usus, semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia adalah kembar siam paling muda yang dibedah pada usia 17 hari.
Menurutnya, pasangan kembar berkenaan juga dilahirkan pramatang pada usia 33 minggu.

“Pembedahan ini mengambil masa 10 jam. Sebanyak tujuh beg darah termasuk komponen darah diperlukan bagi memastikan kestabilan dan keselamatan kedua-dua bayi tersebut sepanjang pembedahan.
“Tahniah dan ucapan terima kasih kepada pasukan HTA yang diketuai oleh Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak, Datuk Dr Zakaria Zahari, menyelamatkan bayi kembar ini.
“Alhamdulilah kini bayi kembar ini berjaya dipisahkan dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Dr Zakaria dalam satu kenyataan memaklumkan, hospital berkenaan melakar sejarah apabila kembar siam pramatang seberat 2.7 kilogram (kg) telah berjaya dipisahkan semalam.

Menurutnya, pembedahan seumpama itu biasanya dilakukan pada umur tiga hingga enam bulan, namun disebabkan komplikasi ‘extrauterine twin-to-twin transfusion syndrome’, pasangan itu terpaksa menjalani pembedahan segera.
“Bayi kembar lelaki ini dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan, dan dirujuk oleh Pakar Neonatologi HRPB, Dr Maneet Kaur Ranjuth Singh untuk rawatan lanjut di HTA.
“Selepas perbincangan di antara doktor-doktor pakar HRPB dan HTA secara atas talian pada 15 Mac 2022 jam 2 petang, keputusan untuk melakukan pembedahan berisiko tinggi itu telah disepakati,” katanya.
Menurutnya, semenjak pembukaan HTA, pembedahan berkenaan merupakan pembedahan ketiga untuk pasangan bayi kembar siam di hospital terbabit. – Malaysiapost

