PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyifatkan Lim Kit Siang yang mengumumkan persaraan daripada arena politik hari ini, sebagai hero sebenar Malaysia.
Ahli Parlimen Muar itu berpendapat, pemimpin veteran DAP itu ibarat wira kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Katanya, jasa Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkenaan dalam bidang politik akan memberi inspirasi kepada generasi muda.
“Seorang wira, patriot dan negarawan Malaysia sejati untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
“Terima kasih kerana berkhidmat hampir 60 tahun.
“Komitmen anda kepada Malaysia untuk semua rakyat Malaysia telah dan akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang. Terima kasih Lim Kit Siang,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Kit Siang hari ini mengumumkan persaraannya selepas 56 tahun berkecimpung dalam arena politik tanah air.
Kit Siang mengesahkan tidak bertanding untuk sebarang jawatan dalam kongres DAP kali ini dan tidak akan menyertai mana-mana kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau mengumumkan perkara tersebut ketika berucap di Kongres Kebangsaan DAP Ke-17, yang diadakan di Shah Alam, hari ini. – Malaysiapost

