PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah menunaikan enam ketetapan yang diputuskan oleh Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Naib Presiden Umno itu berkata, beliau berjaya melaksanakan keenam-enam ketetapan tersebut dengan dokongan rakan-rakan Kabinet parti berkenaan.
“Sejak Barisan Nasional (BN) kembali memimpin kerajaan, sudah banyak kejayaan kita capai. Selaku orang parti, paling penting bagi saya adalah menunaikan ketetapan parti.
“Alhamdulillah, semua perkara diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Ogos 2021, telah saya laksanakan dengan dokongan rakan-rakan Kabinet Umno,” katanya ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2021 di Kuala Lumpur hari ini.
Enam ketetapan seperti berikut:
- Mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti sebagai mana titah saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu. Titah ini kita junjung. Inilah Umno terus menjaga dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
- Memberi fokus kepada usaha menangani Covid-19 dan vaksinasi. Kita telah berjaya mencapai imunisasi kelompok lebih 98.5 peratus dengan dua dos vaksin lengkap. Manakala proses vaksinasi dos penggalak dan PICKids sedang rancak dilaksanakan. Tiada paksaan untuk menerima dos penggalak kepada golongan dewasa dan kanak-kanak tetapi kita galakkan mengambilnya untuk melindungi Keluarga Malaysia.
- Menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan termasuk bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.
- Penjenamaan semula kerajaan melalui Keluarga Malaysia dengan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.
- Mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen. Kita pastikan Dewan Rakyat berfungsi dan memainkan peranannya dalam semak dan imbang.
- Menubuhkan jawatankuasa yang berkaitan bagi menegakkan keadilan dan menunjukkan ketelusan kepada rakyat. – Malaysiapost

