KERAJAAN meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun hanya membabitkan majikan syarikat besar dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Manakala bagi syarikat-syarikat mikro yang mempunyai kurang pekerja dan kurang pendapatan, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
“Ia bagi memohon agar menangguhkan dulu (penguatkuasaan) kepada syarikat-syarikat kecil ini,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri berkata, keputusan itu diambil selepas beliau mendengar perbahasan dibawa perwakilan dan keluhan rakyat serta mengambil kira faktor peningkatan kos sara hidup yang akan menekan kehidupan golongan B40.
“Justeru, hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

