RUU anti lompat parti, had tempoh jawatan PM masih diteliti – Wan Junaidi

0
2

BARISAN Kabinet masih meneliti lanjut berkenaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti dan had tempoh jawatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun yang dicadangkan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata penelitian dibuat melalui sesi perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan mereka di Dewan Rakyat.

“Sokongan majoriti dua pertiga di Dewan diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, beliau telah mengemukakan surat kepada semua pemimpin parti beserta borang soal selidik untuk dijawab bersama draf RUU untuk pandangan dan input selanjutnya.

“Inisiatif ini kesinambungan daripada keseluruhan sembilan sesi libat urus yang saya telah adakan bersama pelbagai pihak seperti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta parti-parti komponen termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa sesi libat urus bersama BN dan PN yang dijadualkan pada 26 dan 28 Februari 2022 telah ditangguhkan atas permintaan parti untuk memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, sebaik sahaja pendapat dan input daripada semua pihak telah diperolehi serta sekiranya diluluskan Jemaah Menteri, maka RUU tersebut akan dibentangkan semasa Sidang Khas Parlimen.

Katanya, ia selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebaik sahaja Perdana Menteri bersetuju menggunakan kuasanya di bawah Peraturan tersebut.

“Kerajaan sentiasa komited dan akan meneruskan usaha merealisasikan penggubalan Rang Undang-Undang ini demi memastikan kestabilan politik negara berada pada tahap terbaik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here