PAU2021 : Serah pada ‘top 5’ bincang waktu sesuai PRU, pemilihan parti – Umno Melaka

0
1

UMNO Melaka menegaskan memberi kepercayaan penuh kepada pucuk pimpinan bagi membincangkan soal keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun pemilihan parti.

Setiausahanya, Datuk Mustafa Musa, berkata semua pihak perlu akur dengan sebarang keputusan yang dibuat kelak.

Katanya, semua keputusan terserah kepada pimpinan parti untuk membincangkan soal tersebut apatah lagi Naib Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di dalam ‘top 5’ berkenaan.

“Umno Melaka memberi kepercayaan penuh kepada pucuk pimpinan parti bagi membuat keputusan PRU-15 dan bincanglah elok-elok ‘top 5’. Jangan ada dusta antara kita. Jangan ada batu api pengadu domba. Hentikanlah kerana tindakan tidak bermaruah ini hanya akan melemahkan parti.

“Beri kepercayaan kepada ‘top 5’  dan di dalamnya ada Perdana Menteri bincanglah dengan penuh kasih sayang. Elakkan mementingkan diri sendiri dan adu domba sesama kita,” katanya ketika berucap sebagai pencadang usul ucapan dasar presiden Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021,

Mustafa berkata, Umno Melaka berhasrat agar pemilihan diadakan selepas pilihan raya bagi memastikan kelancaran perjalanan jentera dan sebagainya.

“Kalau positif Covid ianya tujuh hari tetapi pemilihan parti parut tetap ada. Apabila ada pemilihan sebelum pilihan raya banyak hati yang terguris. Bukan setakat itu dibimbangi akan menyebabkan berlakunya rombakan struktur dan tiba-tiba pilihan raya dipanggil keadaan akan jadi haru-biru.

“Cukup masanya bertandinglah. Pemilihan parti mestilah diadakan selepas pilihan raya dan jangan kompromi. Ikut keputusan parti,” katanya.

Beliau turut mendesak agar kerajaan memberi perhatian kepada kos sara hidup rakyat yang rata-rata terkesan.

“Hari ini ada macam-macam bantuan tetapi rakyat masih lagi terkesan. Petani, nelayan, pemandu teksi, penoreh getah, penjaja di kali lima dan sebagainya lagi terkesan. Jangan lupa orang kampung, bandar dan desa,” ujarnya lagi.

Jelas beliau lagi, soal pendidikan negara juga perlu ditekankan secara mendalam apatah lagi dengan keadaan semasa negara yang berdepan Covid-19.

 “Pembelajaran bersemuka terjejas dengan capaian internet yang kurang. Saya mohon kementerian pendidikan supaya lebih berhemah dalam perkara supaya pendidikan tidak hancur dan berkecai,” ujarnya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here