Bertanding pemilihan Umno? Ini jawapan KJ

0
2

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan masih terlalu awal untuk beliau memutuskan sama ada akan bertanding mana-mana jawatan dalam pemilihan parti akan datang.

Pada pemilihan parti 2018, Khairy bertanding jawatan Presiden Umno namun tewas kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam saingan tiga penjuru yang turut melibatkan Tengku Razaleigh Hamzah.

“Masih terlalu awal untuk cakap nak bertanding jawatan apa… yang penting hari ini kita semu lega sebab ada usaha ke arah keharmonian.

“Umno ini satu perkara adalah disiplin kita. Walaupun tak semua kita setuju dalam parti, masing-masing ada pendapat, tapi kita tahu bila masa kita tak buka pekung di khalayak,” katanya ketika ditemui media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Sementara itu Khairy yang juga Menteri Kesihatan mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid kerana membawa perkara paling penting iaitu keharmonian dalam parti menerusi Ucapan Dasar Presiden pagi tadi.

“Sebab sebelum ini wujud persepsi ada kabilah tertentu, ada kiblat tertentu, ada kumpulan dan kluster tertentu.

“Kekuatan Umno selalunya datang apabila kita bersatu, kita akan jadi ketumbukan politik yang hebat dan pada hari ini, saya lihat satu ucapan yang promosi semangat keharmonian terutama antara pimpinan parti dan pemimpin Umno dalam kerajaan.

“Saya lihat ini satu perkembangan yang baik dalam kita membuat persiapan untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here