SEMUA masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan mulai 1 April ini.
Ketetapan baharu itu dikeluarkan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini selaras pengumuman kerajaan berkaitan Fasa Peralihan ke Endemik, baru-baru ini.
Berkuat kuasa 1 April ini, ketetapan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau turut merangkumi:
- Jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri.
- Kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada yang telah menerima vaksinasi Covid-19.
- Masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan Solat Sunat Tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan. Manakala Qiamullail dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau mulai tengah malam.
- Majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau dan makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus.
- Dibenarkan aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau serta boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.

