PRU15: 8 pemimpin ini perlu lepas teraju, biar orang baharu urus parti

0
1

Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

SELEPAS Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU14, rakyat menaruh harapan besar negara akan berubah dari politik kleptokrat ke politik demokrat.

Namun, tidak tahu di mana salahnya, selepas PRU14, bukan politik demokrat yang kita dapat, tetapi politik yang terencat.

Sejak 2018, kita telah mempunyai tiga Perdana Menteri (PM). Dengan tiga PM ini, apa yang dapat dilihat ialah ekonomi negara tidak terurus baik, rasuah berleluasa, kos barangan menaik, peluang pekerjaan terbatas, pengangguran rakyat meningkat, nilai ringgit merudum, bilangan menteri bertambah dan hutang negara membengkak.

Sejak 2018, kita telah mempunyai empat Pilihan Raya Negeri (PRN) — Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor. Semua ini dilakukan dalam keadaan Covid-19 masih mengganas kerana kegilaan kuasa.

Dalam kempen, kita melihat isu yang sama dimainkan — perkauman, penyelewengan dan janji kestabilan. Hidangannya menu lama.

Dari segi pelaksanaan pilihan raya, SPR masih belum meyakinkan bertindak sebagai sebuah badan yang bebas dan adil. SOP pilihan rayanya masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.

Pertanyaannya, selepas empat PRN, semakin majukah empat negeri tersebut? Dalam konteks negara pula, semakin stabilkah politik kita? Semakin yakinkah pelabur kepada negara kita? Semakin perlukah kita kepada PRU15 dipercepatkan?

Saya pesimis untuk memberikan jawapan positif kepada semua pertanyaan di atas. Pada hemat saya, politik negara tidak akan stabil selagi pemimpin parti sekarang masih lagi sebagai aktor utamanya.

Oleh itu, sampai masanya pemimpin lama melepaskan teraju kepada kepimpinan baharu. Bukan mereka tidak hebat, tetapi tuntutan sekarang tidak sesuai lagi dengan gaya kepemimpinan mereka.

Khusus untuk Tun, DSAI, TSMY, DSNR, DZH, TGHH, LGE, MS — lepaslah teraju parti kepada pemimpin baharu. Jika mahu kekal dalam politik dan masih sayangkan parti masing-masing, jadilah pengerusi parti atau ketua umum sahaja. Biar urusan operasi harian parti diuruskan oleh orang baharu.

Lakukan ini sebagai jasa bakti kepada negara. Negara perlu bergerak cepat ke depan dan ini memerlukan tenaga dan idea baharu untuk menggerakkannya. Politik Malaysia perlu disuburkan. Kita perlukan kesegaran.
.
Penulis ialah penganalisis politik
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here