TIDAK perlu polemik mengenai bilakah masa sesuai untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, menurut Datuk Seri Mahdzir Khalid, semua pihak mesti menghormati bahawa kuasa membubar Parlimen ialah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.
Naib Presiden Umno itu menjelaskan, Perdana Menteri hanya memiliki hak mempersembahkan masa yang sesuai untuk pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong sahaja.
“Ketika ini Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri. Perkara nak bubar Parlimen ini boleh dibawa mesyuarat dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Kita berbincang dulu.
“Perkara boleh bawa bincang, bermesyuarat nak bubar awal atau tidak, tak perlu nak buat polemik, kecoh sana, kecoh sini riuh sekampung.
“Selepas itu Perdana Menteri boleh persembahkan kepada Agong, dan hak Agong untuk menerimanya atau tidak. Kita kena hormat hak Agong,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata kepada media selepas merasmikan ruang pameran kementeriannya sempena Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Susulan kemenangan dua pertiga Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, timbul desakan dari dalaman Umno yang mahu Parlimen dibubar segera bagi memberi laluan PRU15. – Malaysiapost

