Rayuan akhir najib memasukkan bukti baharu ditolak

0
1

RAYUAN akhir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya ditolak Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Keterangan baharu yang ingin dimasukkan Najib dalam rayuannya membabitkan dakwaan bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya, bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low terhadapnya.

Memetik laporan Berita Harian, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak rayuan berkenaan.

Panel hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa mahkamah rayuan menggunakan budi bicaranya ketika menolak permohonan Najib berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Panel juga mendapati rayuan untuk memasukkan bukti baharu tidak mempunyai merit, selain ia berpuas hati bahawa itu tidak memenuhi peruntukan undang-undang.

Turut sama bersidang dalam panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

Pada 7 Disember tahun lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak permohonan Najib memasukkan bukti baharu.

Permohonan itu ditolak selepas panel hakim Mahkamah Rayuan mendapati Najib gagal menunjukkan wujud keadaan luar biasa yang membolehkan mahkamah menerima bukti berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here