Rafizi perlu berhenti main politik murahan – Farhash

0
1
IPOH 06 OKTOBER 2019. Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Tambun 2019, di Dewan Taman Perpaduan, Ipoh. NSTP/ABDULLAH YUSOF. *** Local Caption ***

BEKAS Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menasihati Rafizi Ramli untuk bersikap lebih beradab dan jujur sejurus kembali ke gelanggang politik.

Beliau berkata, Rafizi perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap pertuturannya agar tidak mengguris hati semua anggota PKR.

Katanya, penglibatan Rafizi dalam kancah politik tanah air sudah tidak dapat dinafikan lagi terutama sumbangannya dalam menghiburkan rakyat.

“Terbaru beliau memaklumkan kepulangan ke arena politik sekali gus menamatkan percutian sebelum ini dengan mengumum akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR,” katanya dalam satu kenyataan.

Farhash bagaimanapun berkata, bekas Ahli Parlimen Pandan itu kian menterjemahkan agenda tersembunyi dengan berdolak-berdalih dari menyatakan cita-cita sebenarnya.

“Rafizi yang banyak berkias dalam kenyataannya dengan menyindir Presiden parti sebagai lemah dan menyifatkan percutiannya dari aktif dalam PKR sebelum ini adalah kerana tidak bersetuju dengan keputusan dibuat pimpinan.

“Maka dengan itu, ramai pihak merasakan Rafizi tidak mampu untuk menerima keputusan yang dibuat secara kolektif oleh pimpinan dan hanya dengan diberi kuasa mutlak sebagai Presiden akan memuaskan hatinya,” katanya lagi.

Tambahnya, Rafizi juga secara biadap menyatakan beliau memilih untuk tidak bertanding jawatan Presiden supaya tidak menimbulkan kacau-bilau dan mengganggu mesej-mesej parti kepada umum.

“Namun, persoalan penting yang harus dijawab adalah, adakah beliau merasa layak untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden?

“Jika dirasakan begitu, gelanggang demokrasi ini dibuka seluasnya. Biar anggota PKR melihat wajah sebenar kerakusan kuasa yang sanggup membelakangkan kepimpinan parti.

“Justeru, saya ingin menasihatkan Rafizi untuk bersikap jujur pada diri sendiri dan berhenti bermain politik murahan sebegini.

“Harus diingat, PKR merupakan parti yang cukup dinamik kerana ia merangkumi suara seluruh lapisan masyarakat dan setiap keputusan parti perlu diterima secara berjemaah,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini terdapat spekulasi bahawa Farhash mungkin bertanding jawatan Timbalan Presiden yang kosong sejak dua tahun lalu selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipecat pada 24 Februari 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here