Mcdonald’s Fries Crossing tarikan baharu di Bukit Bintang

0
2

PERSIMPANGAN segitiga emas di Bukit Bintang di ibu negara kini menjadi satu lagi tarikan baharu kepada pengunjung.

Semalam Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim merasmikan Mcdonald’s Fries Crossing di persimpangan utama itu yang berhadapan dengan McDonald’s pertama dibuka di Malaysia pada 1982.

“Lintasan pejalan kaki yang nampak seolah-olah kentang goreng ini bakal menjadi satu lagi lokasi wajib singgah di Kuala Lumpur,” kata Shahidan menerusi hantaran di Facebooknya.

Sementara itu portal Wilayahku melaporkan, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menggalakkan mana-mana syarikat korporat di ibu kota untuk memperindahkan laluan pejalan kaki di hadapan premis mereka.

Menurut Shahidan, ia bagi memperkenalkan identiti perusahaan mereka di samping menceria kawasan tersebut dan boleh dijadikan tarikan kepada pengunjung.

“Mana-mana syarikat boleh menjadikan laluan pejalan kaki di hadapan premis untuk diperindahkan untuk tujuan memperkenalkan perniagaan mereka dan kementerian tiada halangan bagi tujuan itu.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama bagi membolehkan ia dilakukan dengan peraturan-peraturan tertentu yang dibenarkan,” katanya.

Sementara itu Shahidan berkata, KWP menganggap McDonald’s sebagai rakan strategik kepada DBKL yang melaksanakan pendekatan tersendiri untuk menghiasi jalan di tengah ibu kota.

“Kita lihat lintasan jalan kaki Fries McDonald’s ini merupakan tarikan baharu pelancong dan ia akan menjadi tempat tumpuan untuk pengguna media sosial mengambil gambar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here