AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum baharu yang dicadangkan sebanyak RM1,500.
Syed Saddiq berkata, tindakan kerajaan membuat ‘pusingan-U’ berhubung perkara itu amat dikesali memandangan ia adalah desakan daripada rakyat.
“Dulu kata nak naikkan gaji minimum ke RM,500. Tiba tiba bila golongan elit tolak, buat u-turn.
“Adakah kerana lobi dari golongan elit lebih kuat dari hak pekerja? Saya mohon penjelasan di Parlimen.
“Bila saya dalam kabinet, setiap tahun gaji minimum naik. Ini desakan rakyat,” katanya ringkas di Facebook.
Semalam, Syed Saddiq menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bagi meminta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, dikenakan tindakan tatatertib kerana mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu penetapan gaji minimum.
Ini kerana katanya, pada awal Februari lalu, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah telah menyatakan di Dewan Rakyat, bahawa pelaksanaan gaji minimum RM1,500 akan dilaksanakan pada hujung tahun ini.
Bagaimanapun semalam, Saravanan memaklumkan perkara itu perlu dikaji semula dengan melihat keperluan sebenar rakyat dan kemampuan majikan.
Semalam, media melaporkan, Saravanan berkata, pelaksanaan gaji minimum baharu yang dicadangkan sebanyak RM1,500 tidak akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini.
Katanya, sebaliknya perkara itu akan diumumkan dalam terdekat memandangkan situasi ekonomi negara ketika ini bertambah baik.
Sebelum ini, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, sebarang kenaikan kadar gaji minimum hanya boleh dilaksanakan jika perniagaan kembali pulih sepenuhnya dan negara tidak lagi berdepan isu pengangguran.
Beliau berkata, penetapan gaji minimum yang lebih tinggi pada masa ini akan menjejaskan usaha majikan sektor swasta untuk memulihkan perniagaan mereka. – Malaysiapost

