Lebih RM126 bilion nilai dagangan Malaysia-Thailand menjelang 2025 – PM

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bakal merancakkan aktiviti perdagangan Malaysia-Thailand yang dijangka bernilai lebih RM126 bilion menjelang 2025.

Beliau berkata, kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi iaitu berdekatan sempadan Malaysia-Thailand memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan.

“Sukacita saya umumkan nilai dagangan terkini Malaysia-Thailand adalah berjumlah lebih RM96 bilion dan sejumlah RM44 bilion disumbangkan melalui perdagangan antara sempadan.

“Justeru, penubuhan Perlis Inland Port (PIP) amat tepat pada masanya bagi merancakkan perdagangan dengan Thailand dan mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Antara projek iaitu Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley,” katanya ketika majlis pelancaran PIP dan ‘Bonded Road’, di Chuping Perlis hari ini.

Beliau berkata, PIP mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi.

Menurutnya, ia akan menarik pelaburan baharu dengan penyediaan kemudahan logistik yang lengkap dan kos pengangkutan yang berpatutan bagi pelabur-pelabur di CVIA.

Tambahnya, ekoran daripada pelancaran PIP, CVIA dijangka bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan.

“Walaupun baru dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan.

“Sehubungan itu, NCIA akan terus meningkatkan sistem hubungan pengangkutan yang bersepadu dengan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang holistik, membolehkan PIP mempertingkatkan daya tarikan pelabur ke NCER,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here