PRN Johor: 85 calon hilang deposit

0
2

SERAMAI 85 calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam kehilangan deposit.

Ia termasuk calon tiga parti baharu yang membuat langkah sulung iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mempertaruhkan 42 calon, Parti Bangsa Malaysia (PBM – 4) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra – 1).

Parti Warisan Sabah (Warisan) yang melebarkan sayapnya di Semenanjung dengan meletakkan enam calon selain Parti Sosialis Malaysia yang bertanding satu kerusi turut menerima nasib sama.

Selain itu, tujuh calon PKR iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Semarang, Tenggeroh, Pasir Raja, Johor Lama, Tanjung Surat dan Benut turut kehilangan deposit setelah gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Masing-masing empat calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Yong Peng, Layang-Layang, Mengkibol dan Paloh dan Pakatan Harapan (PH) di Endau, Panti, Sedeli dan Penawar turut menerima nasib sama.

Bagi kesemua 16 calon Bebas yang bertanding di 12 DUN, hanya Zahari Osman yang berhadapan pertandingan empat penjuru di DUN Penggaram memperoleh undi tertinggi berbanding calon Bebas lain iaitu sebanyak 2,190 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here