‘Logo Pejuang tidak dikenali ramai antara punca kalah’ – Mukhriz

0
2

PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kurangnya pendedahan logo partinya antara sebab kekalahan mereka di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau juga berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah turut menjadi faktor, tetapi mengakui terdapat kelemahan di pihak Pejuang yang perlu diperbaiki.

“Kami parti yang didaftarkan tidak sampai tujuh bulan, logo kami tidak dikenali ramai,” katanya memetik MalaysiaKini.

Pejuang bertanding di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Mereka kehilangan wang deposit di semua kerusi yang mereka tandingi.

Malah Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, yang merupakan timbalan menteri dari 2018 hingga awal 2020, kehilangan depositnya di Machap.

Sebaliknya, parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang baru didaftarkan tiga bulan lalu berjaya menyelamatkan deposit mereka di kesemua tujuh kerusi yang mereka tandingi.

Ini termasuk Larkin, di mana Muda tidak menerima sebarang bantuan daripada Pakatan Harapan (PH) kerana ia bertembung dengan PKR.

Peserta baru lain dalam pilihan raya negeri, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang berpangkalan di Sabah – turut kehilangan wang deposit.

Pejuang yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggambarkan ia sebagai kuasa ketiga dan ‘kingmaker’.

Ia enggan bekerjasama dengan parti pembangkang lain di Johor, keputusan yang dipertahankan Mukhriz semalam.

“Bertanding solo bukan satu kesilapan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi, Pejuang akan terus berkhidmat sebagai semak dan imbang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here