Kemaraan BN tidak dapat disekat – Ilham Centre

0
3

PAKATAN Harapan (PH) dilihat semakin tidak mampu menghalang dan kini hilang arah dalam menyekat kemaraan Barisan Nasional (BN) termasuk di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Berdasarkan hasil kajian Ilham Centre, perpecahan pembangkang memberi kelebihan kepada BN, manakala PH dilihat buntu mencari formula bagi mengembalikan kegemilangan pencapaian mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ketiadaan tokoh yang mampu menyatukan semua parti pembangkang adalah punca mengapa pertembungan banyak penjuru yang merugikan kepada semua pihak selain BN terjadi di Johor.

“Perikatan Nasional (PN) ternyata menjadi saingan utama kepada BN tetapi peratusan bukan Melayu yang tidak menyokong gabungan ini yang menyebabkan mereka gagal mengatasi BN.

“BN sebenarnya mendapat laba keuntungan apabila undi Cina disudutkan kepada PH dan undi Melayu pula terpecah-pecah dalam saingan tiga penjuru atau lebih.

“PRN Johor akan membuktikan dengan jelas sekiranya berlaku perebutan undi mengikut etnik akan memberikan keuntungan melalui undi yang sekadar mencukupi kepada BN,” katanya dalam laporan eksekutif yang dikeluarkan Ilham Centre.

Menurut laporan itu lagi, pembangkang tidak mempunyai pilihan selain daripada bekerjasama membina sebuah koalisi atau ‘electoral pact’ yang boleh merangkumi setiap segmen pengundi.

Sekiranya pihak pembangkang gagal memenuhi syarat ini, kesimpulannya sudah dapat jangka dalam pilihan raya umum akan datang.

“Ternyata peribahasa Melayu, ‘jong pecah yu kenyang’ tepat dalam menggambarkan apa yang berlaku dalam pilihan raya ini.

“Perpecahan pembangkang yang terlalu rencam dan berbilang penjuru memecahkan kekuatan undi PH semasa pilihan raya umum yang lalu, secara taktikalnya menguntungkan BN,” katanya.

Kajian itu menambah, kemunculan parti-parti baru pertama kali mencuba nasib dalam medan demokrasi seperti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah memeriahkan pilihan raya kali ini sebagai pesta demokrasi sekaligus menjadi tanda aras pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Muda dilihat terkehadapan berjaya menjalinkan kerjasama ‘electoral pact’ bersama PH meskipun bertembung dengan PKR di Larkin.

“Dalam kajian ini, majoriti responden menyatakan persaingan utama merebut perhatian pengundi ialah tiga gabungan politik utama iaitu BN, PN dan PH.

“Parti-parti kecil yang lain menerima sokongan berbeza-beza mengikut lokaliti tetapi tidak mampu mencabar tiga gabungan tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here