Agong sampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Shinzo Abe

0
1

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Anugerah itu disampaikan Baginda ketika kunjungan hormat Shinzo Abe yang juga Utusan Khas kepada Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, di Istana Negara, hari ini.

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan memaklumkan, Sri Paduka Baginda menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Shinzo Abe atas penganugerahan Ijazah Kehormat daripada UIAM berkenaan.

“Sesi menghadapi hari ini merupakan pertemuan Kali Kedua Baginda bersama Shinzo Abe. Pertemuan pertama berlangsung pada 23 Oktober 2019 sempena lawatan Khas Baginda menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito, di Istana Imperial, Tokyo.

“Shinzo Abe kini dalam rangka lawatan tiga hari bermula semalam ke Malaysia bersempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur Malaysia dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara,” katanya.

Menurutnya, lawatan khas itu mencerminkan keakraban dan kerjasama erat dalam pelbagai bidang diantara Malaysia dan Jepun.

“Pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur selama empat dekad telah menghasilkan faedah besar, terutamannya dalam aspek-aspek pembangunan modal insan serta perdagangan dan pelaburan diantara kedua-dua negara.

“Pada 2021, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia dengan nilai dagangan dua hala RM149 bilion. Sehingga September 2021, Jepun merupakan pelabur terbesar berdasarkan jumlah projek dilaksanakan dalam sektor pembuatan dengan nilai keseluruhan RM91.7 bilion,” katanya.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen ke-36 UIAM dijadualkan berlangsung esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here