Salah lapor agaknya – Muhyiddin

0
1

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kenyataan rakan komponennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan “kurangnya kesedaran politik Islam di Johor.

Bekas Perdana Menteri itu berkata kenyataan itu mungkin disalah petik atau disalah tafsir.

“Saya tak pasti apa yang dimaksudkan Hadi. Dia rakan saya dalam PN. Mungkin dia (media) salah lapor agaknya,” katanya kepada media di Batu Pahat, hari ini.

Isnin lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata kegagalan PAS di Johor kerana kurangnya kesedaran politik Islam di negeri itu berbanding Kelantan dan Terengganu, di mana PAS memimpin.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas para pemimpin Umno terutamanya Umno Johor.

Muhyiddin menjelaskan, setiap orang Melayu di Johor ada asas agama serta boleh menilai baik buruk dan halal haram sesuatu perkara.

“Di peringkat negeri Johor kita dah ada satu sistem penddikan Islam amat baik, malah dijadikan contoh negeri-negeri lain di Malaysia ini,” katanya.

Terdahulu hari ini, Veteran Umno Johor menggesa Abdul Hadi memohon maaf dan menarik semula kenyataannya yang mendakwa masyarakat Melayu Johor kurang memahami politik Islam.

Pengerusinya, Datuk Othman Jais berkata, Umno yang lahir di Johor sentiasa komited menegak dan mengembangkan syiar Islam di negeri itu.

Menurutnya, dalam sejarah perjuangan Umno Johor, parti itu melawan dan melenyapkan musuh Islam serta menggagalkan gagasan Malayan Union.

“Sepatutnya Tuan Guru Hadi Awang sebelum mengeluarkan kenyataan itu bertanyakan dahulu dengan rakan karibnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dia Menteri Besar Johor selama dua penggal dahulu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here