RISDA peruntuk RM5.86 juta tingkat produktiviti getah di Johor

0
1

PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM5.86 juta bagi meningkatkan produktiviti getah menerusi Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG).

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata ia dilaksanakan menerusi Program Skim Getah Matang dan Program Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Luruhan Daun (LDP) ‘Pestalotiopsis untuk Negeri Johor.

Menurutnya, menerusi peruntukan SPIG tersebut, sebanyak RM1.06 juta diperuntukkan untuk 931 pekebun kecil RISDA di daerah Segamat.

“Skim ini bagi memastikan matlamat untuk meningkatkan produktiviti getah ke arah penghasilan 1,800kg perhektar setahun dapat dicapai seterusnya memberi pulangan lebih baik kepada pekebun kecil RISDA.

“Dengan penghasilan getah pada kadar ini, ia akan memberi pendapatan purata kepada daripada hasil kebun sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Pekebun Kecil RISDA daerah Segamat hari ini.

Abdul Rahman berkata, SIPG diwujudkan bagi mendukung hasrat kerajaan melalui RISDA dalam memastikan masyarakat pekebun kecil memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM4,500 menjelang tahun 2025.

Mengenai Program Pencegahan dan Kawalan Penyakit Luruhan Daun (LDP) Pestalotiopsis, katanya, RISDA memperuntukkan RM1.29 juta kepada pekebun kecil di Johor.

Menurutnya, Segamat mendapat peruntukan tertinggi RM590,000 bagi membantu masyarakat pekebun kecil yang terjejas.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan pekebun kecil RISDA yang memerlukan bantuan disediakan supaya hadir ke mana-mana Pejabat RISDA berhampiran untuk mendapatkan khidmat nasihat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here