Pembangkang sedia teruskan MoU politik selepas 31 Julai

0
1

[Parlimen] PEMBANGKANG menyatakan kesediaan meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, selepas tarikh 31 Julai depan.

Anthony Loke (PH-Seremban), berkata pembangkang bersedia menjalin MOU 2.0 hingga tempoh pilihan raya umum (PRU) baharu diadakan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu melayan desakan sesetengah pihak supaya PRU disegerakan.

“Dengan angka jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini, adalah lebih baik PRU tidak diadakan dalam waktu terdekat.

“Pembangkang akan mempertahankan apa yang kita tandatangani dan melaksanakan transformasi yang dipersetujui, termasuk pindaan Perlembagaan berkaitan Akta Antilompat Parti yang akan dibentangkan pada 21 Mac ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 13 September tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan PH telah melakar satu sejarah negara dengan memeterai MoU berkenaan di Dewan Bankuet, Parlimen.

MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen berkuat kuasa pada Isnin dan terpakai sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here