SEORANG pemimpin Umno menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah seorang pemimpin yang berprinsip.
Menurut Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, pendirian Presiden PKR itu berubah mengikut keadaan khususnya berhubung pengeluaran kali terakhir simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Anwar Ibrahim jelas, bukan pemimpin berprinsip. Pendiriannya berubah mengikut keadaan, dan kepentingannya. Namun Umno BN kekal konsisten.
“Perjuangan Umno BN mengenai i-Citra KWSP tidak berubah demi rakyat. Umno BN tahu kesusahan dan keperluan rakyat kerana itu kekal mahu agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP.
“Apapun terima kasih Presiden PKR kerana akhirnya akui apa yang Umno BN perjuangkan itu betul,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyatakan beliau kini mendukung agar pengeluaran KWSP dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi.
Anwar turut menggesa kerajaan mengambil kira nasib golongan rakyat yang tidak mencarum.
Pada Januari lalu, Anwar dilaporkan berkata pengeluaran KWSP tidak boleh diberi laluan mudah kerana ia adalah jaminan masa depan pencarum.
Anwar berkata daripada memberi kebenaran mengeluarkan KSWP apabila ditimpa bencana seperti banjir, kerajaan boleh menyalurkan pelbagai bantuan kepada mangsa. – Malaysiapost

