UMNO yakin mampu menang besar di peringkat Parlimen sekiranya berjaya mendapat mandat pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin, berkata ketamakan Umno untuk mendapat kuasa mutlak menyebabkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Pembubaran DUN Johor adalah kerana mengkehendaki kuasa mutlak.
“Umno-BN tamak kuasa kerana supaya di Pusat boleh memberi tekanan pembubaran Parlimen kerana Umno yakin mereka akan menang besar peringkat Parlimen jika boleh menang besar di Johor,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, penguasaan mutlak kerajaan akan membolehkan campur tangan membebaskan kluster mahkamah.
“Di peringkat negeri penguasaan mutlak pula akan membolehkan amalan lama (guna kuasa untuk kekayaan) dibuat semula.
“Makanya kesempatan itu mengakibatkan pertembungan beberapa kem yang mengidam puncak kuasa negeri,” katanya.
Baru-baru ini, muncul desas desus mendakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang didakwa giat melobi jawatan Menteri Besar bagi menggantikan Datuk Hasni Mohammad sekiranya BN menang di Johor.
Perkara itu didedahkan, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa antara hujah sebagai ahli MKT yang dilantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Mohd Puad boleh membawa Umno Johor lebih rapat dengan agenda Presiden Umno berbanding Hasni. – Malaysiapost

