‘Yakinlah BN satu-satunya parti mampu bawa agenda perpaduan’ – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap seluruh pengundi bukan Melayu mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang akan berlangsung Sabtu ini.

Beliau berkata, BN adalah sebuah gabungan politik ditunjangi parti komponen yang mewakili pelbagai kaum dan agama iaitu Umno, MCA dan Mic untuk Johor.

“Yakinilah BN kerana ia satu-satunya organisasi politik yang terbukti mampu membawa agenda perpaduan.

“Bukankah berpuluh tahun kita rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama hidup penuh harmoni dan makmur.

“Ingatilah apa terjadi kepada perpaduan itu selepas kerajaan BN ditumbangkan dengan fitnah, penipuan dan janji palsu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan selama 22 bulan telah merosakkan perpaduan dengan dasar-dasar yang meresahkan orang Melayu.

“Cuba mengubah sejarah negara yang selama ini menjadi pegangan kesatuan serta kestabilan hidup seluruh rakyat Malaysia.

“Mereka merundumkan ekonomi negara sehingga menyebabkan banyak sektor perniagaan merosot dan terjejas.

“Tetapi kroni-kroni perniagaan mereka dilimpahkan dengan nikmat kekayaan yang tidak bertepi,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah kerajaan selama 17 bulan terbukti gagal menguruskan pandemik dengan jujur dan saksama.

Sebaliknya, katanya, mengambil kesempatan daripada itu untuk memperkukuh kedudukan politik sehingga sanggup melaksanakan dasar-dasar yang banyak mengorbankan sumber rezeki rakyat.

“Nasib golongan pekerja dan peniaga di Malaysia terjejas teruk tanpa mengira mereka Melayu, India mahupun Cina.

“Ingatilah kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan yang pernah kita bersama nikmati suatu ketika dulu,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hanya BN yang terbukti mampu merealisasikan semua perkara tersebut, maka rakyat Johor perlu berpegang kepada fakta itu.

Katanya, BN mampu melaksanakan apa yang pernah Johor kecapi dahulu kerana parti itu tidak pernah berkait mana-mana kumpulan atau individu.

“Tetapi sebuah organisasi politik ‘as a whole’ yang dari dulu berfungsi sebagai ‘a single unit’ untuk rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here