Nilam Oshman
MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin meluahkan rasa sedih apabila peratusan vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Untuk Kanak-kanak (PICKids), dilihat masih rendah.
Khairy berkata, beliau bimbang kerana kes jangkitan Covid-19 di kalangan kanak-kanak makin meningkatkan dan cuma 30 peratus golongan itu yang mengambil suntikan vaksin itu.
“Saya berasa amat sedih kerana vaksinasi untuk kanak-kanak ini masih rendah. Setakat ini, hanya 30 peratus kanak-kanak mendapatkan pelalian itu sedangkan kes semakin meningkat,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Justeru, beliau menyeru kepada semua ibu bapa untuk membawa anak mereka untuk divaksinasi sebagai perlindungan kepada kanak-kanak itu.
“Masa tunggu dan lihat ini sudah tamat. Ibu bapa masih belum membuat pilihan untuk memberikan vaksinasi kepada anak mereka,” katanya.
Ini kerana, kata beliau situasi semasa jangkitan Covid-19 di kalangan kanak-kanak amat membimbangkan disebabkan varian Omicron.
“Jumlah kanak-kanak usia baru lahir sehingga 11 tahun yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan peningkatan dari tahun 2020, sebanyak 7,730 kepada 379,245 pada tahun 2021.
“Ini yang membimbangkan.. bermula awal Januari 2022 sehingga pertengahan Februari 2022, bilangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang dijangkiti Covid-19 adalah seramai 50,826 orang.
“Data menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 68,893 orang antara pertengahan Februari dan Mac 2022, ini dijangka kerana ramai kanak-kanak kembali ke sekolah, ini melibatkan jangkitan komuniti,” katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan mengenai ‘Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C)’ merupakan adalah salah satu keadaan kritikal yang boleh berlaku di kalangan kanak-kanak akibat jangkitan Covid-19.
“Ia di mana terjadinya keradangan pada organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak.
“Semenjak Jun 2020 hingga Disember 2021, seramai 174 orang kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan Covid-19.
“Sehingga kini, tujuh (7) kes (4%) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan Covid-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-Covid (sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan),” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa vaksinasi Covid-19 ini adalah selamat untuk diambil oleh kanak-kanak bagi mengelak gejala yang lebih serius.
“Kita melihat vaksinasi ini selamat, memberi perlindungan kepada gejala yang paling serius iaitu kemasukan ke hospital, ICU dan juga kematian. Jadi saya sekali merayu kepada ibu bapa jangan buang masa, bawa anak anda untuk mendapatkan vaksinasi dibawah PICKids,” katanya. – Malaysiapost

