Guru interim BI akan dilantik ke jawatan tetap

0
1

KUMPULAN guru interim Bahasa Inggeris (BI) lantikan April 2019 yang akan tamat kontrak pada 21 April ini akan dilantik ke jawatan tetap sekiranya memenuhi syarat.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan nasib guru interim berkenaan terbela.

“Perbincangan telah dilakukan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi mencari penyelesaian agar kumpulan guru interim ini diberikan lantikan tetap,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi kenyataan media KPM berhubung lantikan tetap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 dalam kalangan guru interim BI bagi tahun 2022.

“Semoga ketetapan ini membantu melancarkan lagi pengoperasian sekolah, khususnya sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan KPM, guru interim BI yang memenuhi syarat Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) C1, lulus temuduga dan tamat lantikan pada 21 April ini, akan dilantik tetap sebagai PPP Gred DG41.

“Dalam masa sama, bagi guru interim yang tidak memenuhi syarat CEFR C1, akan turut ditemuduga untuk tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh SPP dalam masa terdekat.

“Walaubagaimanapun mereka perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, kementerian itu sentiasa berusaha untuk meningkatkan kompetensi guru BI bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

“Ini secara langsung akan meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here