JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan menjalankan siasatan dari semua aspek berhubung nahas meragut nyawa dua penunggang motosikal di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Sungai Petani, semalam.
Nahas itu berlaku apabila sekumpulan penunggang motosikal berteduh di bawah jambatan semasa hujan, dirempuh sebuah lori yang dipercayai hilang kawalan.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, dalam kejadian itu dua penunggang meninggal dunia dan tujuh lagi mengalami kecederaan.
“Pemandu lori telah ditahan dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sehubungan itu, JSPT akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus meliputi segala aspek serta berlandaskan undang-undang demi keadilan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mat Kasim menyeru semua penunggang motosikal yang berhenti di bahu jalan dengan tujuan berteduh di bawah jambatan semasa hujan, agar memilih tempat selamat dengan berdiri di bahagian dalam besi penghadang.
“Elakkan duduk di atas motosikal dan berada hampir dengan jalan bagi mengelakkan risiko terdedah kepada kemalangan,” katanya.
Beliau turut menggesa pengguna jalan raya untuk lebih peka dan prihatin kepada penunggang motosikal serta lebih berhati-hati semasa memandu ketika hujan.
“Ini kerana jarak penglihatan terhad dan keadaan permukaan jalan yang basah dan licin boleh meningkatkan risiko berlakunya kemalangan,” katanya.
Dalam kejadian jam 2.40 petang semalam, dua mangsa meninggal dunia ialah Mohd Amirul Ismail, 28, dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31. – Malaysiapost

