[Parlimen] AHLI Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta PAS memperbetulkan matlamat politiknya sebelum mempelawa Amanah bersama parti itu.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Amanah, berkata parti itu memilih untuk bersama DAP kerana matlamat politik yang sama iaitu menentang rasuah dan mahukan tadbir urus negara yang baik.
Jelasnya, berbanding PAS yang tidak jelas matlamat politiknya kerana masih menyokong ‘penyamun dan perompak’.
“Kalau nak ke destinasi sama walaupun niat mungkin berbeza kita boleh naik bas sama.
“Begitulah kami dengan DAP, kami ingin matlamat politik sama, bebas rasuah, tadbir urus negara yang baik.
“PAS apa destinasi politiknya? Betulkan dulu destinasi politik kamu sebelum jemput kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan PAS bersedia untuk menerima Amanah menyertai Muafakat Nasional (MN) sekiranya parti itu tidak bersama dengan DAP dalam Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sama seperti yang berlaku kepada Bersatu, PAS menerima penyertaan parti berkenaan dalam MN selepas tidak mempunyai hubungan dengan DAP.
Mohd Amar berkata, seiring dengan realiti politik semasa yang dinamik, keutamaan perlu diletakkan pada kepentingan agama dan negara. – Malaysiapost

