‘Tiada potong-potong’: Adakah hudud bukan lagi nyawa PAS?

0
1

SEORANG pemimpin Amanah hari ini mempersoalkan sama ada PAS tidak lagi berjuang untuk melaksanakan hukum hudud.

Ia susulan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin bahawa PAS tidak lagi bercakap tentang ‘potong-potong’.

Ahli Jawatankuasa Amanah, Faiz Fadzil berkata kenyataan Muhyiddin itu boleh difahami berkaitan hukum hudud kerana di dalam melibatkan hukuman curi yang dihukum potong tangan.

“Kenyataan ini bercanggah dengan kenyataan bekas Timbalan Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Harun Din pada Disember 2014 lalu bahawa hudud adalah nyawa PAS.

“Selama ini PAS bermatian-matian mahu laksanakan hudud hingga sanggup berpecah dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat kerana mahu membawa usul persendirian meminda Akta 355 bagi membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Ketika itu juga, PAS sering menyatakan hudud nyawa mereka. Namun, apabila PAS berada dalam kerajaan Persekutuan hari ini, pindaan Akta 355 ini masih belum dibawa ke Parlimen dan perjuangan hudud sudah tidak lagi kedengaran,” katanya.

Malah Faiz berkata, Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan dalam Muktamar 2020 menyatakan bahawa sesiapa yang bertanya bilakah PAS akan melaksanakan hudud umpama suara syaitan.

“Adakah nyawa perjuangan PAS kini sudah tiada? Ternyata PAS sudah mengubah agenda perjuangan mereka. Islam yang diperjuangkan selama ini kini menjadi tin kosong setelah berkawan dengan Umno dan PPBM (Bersatu) sebagai kerajaan.

“Tiada satu pun dasar Islam dijadikan agenda negara hari ini sejak Langkah Sheraton berlaku.

“Kerajaan Melayu Islam hanya candu politik bagi mengelirukan rakyat terutama orang Melayu sedangkan kerajaan hari ini terpalit dengan pelbagai skandal rasuah dan penyelewengan walaupun Islam mencegah keras amalan rasuah,” katanya.

Sambil menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu serius, beliau seterusnya meminta Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang menjelaskan sama ada PAS sudah tidak lagi memperjuangkan hudud.

“Ke manakah kompas politik PAS sekarang? Adakah nyawa PAS sudah mati sekarang?

“Jangan jadi seperti Muafakat Nasional yang dikatakan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti ditutup fail, nampak tidak hidup tetapi tidak mati. Hudud bukan zombi,” katanya lagi.

Kelmarin Muhyiddin dalam majlis makan malam bersama masyarakat Cina dilaporkan berkata ketika PAS berada dalam kerajaan PN pimpinannya, tiada lagi kedengaran tentang “potong-potong”, dipercayai merujuk kepada hudud.

“Ada orang Cina takut PAS… takut cerita ‘potong, potong, potong’. Ketika saya jadi Perdana Menteri, dalam parti saya dulu pun ada PAS, tiga menteri PAS. Sekarang pun tiga menteri PAS. Ada beberapa timbalan menteri PAS.

“Ada dengar dia cerita ‘potong-potong’? Tak ada lagi cerita. Pasal bila dia (PAS) sudah jadi kerajaan dia faham, dia kena ambil kira ini ada Cina, Melayu, India. Ada (agama) Islam, ada Buddhist, ada Hindu, dia kena jaga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here