JOHOR sepatutnya menerima limpahan ekonomi susulan pelaksanaan dua projek mega iaitu Rapid Transit System (RTS) dan High Speed Rail (HSR) yang dirancang kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun kedua-dua projek berdepan masalah selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara dan negeri pada 2018.
Katanya, RTS dirancang untuk menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor manakala HSR akan menyambung bandar raya Singapura ke Kuala Lumpur melalui Iskandar Puteri, Muar dan Batu Pahat.
“RTS sepatutnya siap pada 2024 tetapi kini dijangka siap pada akhir 2026 disebabkan kelemahan urustadbir kerajaan PH.
“HSR pula sepatutnya siap pada 2026 tetapi kini tidak diketahui statusnya akibat dasar tidak tetap PH yang diteruskan kerajaan PN.
“Ini satu kerugian yang sangat besar dan menjadi penyumbang kejatuhan prestasi ekonomi kerajaan Johor sejak 2018,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Asyraf Wajdi memberi contoh, pertumbuhan KDNK Johor antara 2011 hingga 2017 adalah purata 5.9 peratus setahun, namun pada 2019 merosot kepada 2.7 peratus iaitu antara paling buruk di Malaysia
Semua itu katanya, berlaku kerana dasar tidak konsisten dan lemah kedua-dua kerajaan PN dan PH sedangkan pembangunan infrastruktur tersebut adalah pemangkin sebenar yang akan mencetus perkembangan ekonomi negeri.
“Formula melaksanakan projek-projek infrastruktur mega bagi menghidupkan semula ekonomi pasca kegawatan adalah amalan semua negara hari ini.
“Amerika Syarikat pada November tahun lepas meluluskan peruntukan USD550 bilion bagi pembinaan infrastruktur awam termasuk lebuh raya, telekomunikasi, sistem perpaipan dan pengangkutan awam.
“Semua ini adalah memastikan rakyat terus mempunyai kerja serta memberi keyakinan kepada rakyat bahawa ekonomi akan terus berkembang. Kerana jika kerajaan terlalu berkira untuk berbelanja, maka rakyat akan takut untuk mengeluarkan wang daripada poket mereka,” katanya.
Beliau berkata, selain mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi ketika pembinaan, projek HSR dan RTS juga akan menjadi kunci bagi mewujudkan pendapatan tinggi rakyat selepas ia siap dibina
“Contohnya perjalanan singkat antara Muar dan Kuala Lumpur menggunakan HSR akan membolehkan penduduk Muar bekerja di ibu negara tanpa perlu meninggalkan kampung halaman. Ini akan menaikkan kuasa membeli setempat dan mencambahkan perniagaan di daerah tersebut
“Malahan projek ini sebenarnya akan menyelesaikan masalah kesesakan di bandar-bandar besar. Laporan Bank Dunia pada 2014 mengatakan bahawa negara rugi RM20 bilion setahun disebabkan kesesakan di Kuala Lumpur sahaja.
“Dengan HSR, ia akan mencetus ‘reverse migration’ di mana pekerja-pekerja di Kuala Lumpur boleh berpindah ke Ayer Keroh atau Muar tanpa meninggalkan pekerjaan sedia ada,” katanya. – Malaysiapost

