Tiada kebenaran anjur konsert di Bulatan Sultan Azlan Shah

0
1

POLIS Perak mengesahkan konsert yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, Ipoh yang tular di media sosial sejak semalam tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, video tersebut dikesan tular menerusi media sosial dengan memetik sumber daripada aplikasi TikTok @acik kesepian dan mendapat perhatian umum.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati penganjur program berkenaan tidak memohon kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk menganjurkan konsert berkenaan.

“Pihak penganjur dan pengunjung juga didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal serta sebahagian pengunjung tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, susulan itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menerima satu laporan polis mengenai kejadian tersebut.

“Kini, pihak polis sedang mengesan pemilik akaun TikTok @acik_kesepian dan individu yang terlibat dalam kes tersebut untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here