Nurul Huda Abhar
CABARAN seorang pendidik bertugas di Borneo sangat besar lebih lagi apabila mendapat penempatan di pedalaman, jauh daripada akses di kawasan bandar.
Ia bagaimanapun tidak menjadi pematah semangat guru muda, dikenali sebagai Cikgu Tarmizi yang mengajar di sebuah sekolah di Sarawak mencipta ruangnya sendiri dengan kemudahan seadanya.
Lebih mengujakan, anak dari Semenanjung itu berjaya mengubah biliknya yang pada awal nampak sangat menyedihkan, kepada bilik dengan hiasan moden beserta penghawa dingin.
“Mula-mula posting hari itu, masuk bilik ini sahaja yang ada. Duduk lah macam ini berbulan-bulan. Tikus lalu atas muka itu biasa.
“Nah, selepas kemas. Beli di Shopee sehaja. Tidak dapat nak pos dekat sekolah. Pos Laju tak sampai, maklumlah sekolah pedalaman. Pos sampai pekan, hari minggu keluar ambil penuh motor,” katanya dalam hantaran Facebook Al-Tarmizi.


Dalam hantaran itu, Cikgu Tarmizi juga berkongsi membuat tempat peliharaan arnab di bawah rumahnya, dan mengubah laluan suram berdekatan menjadi kebun mini yang cantik.
Cikgu Tarmizi sempat menitipkan kata-kata semangat kepada guru-guru baharu yang mendapat penempatan di Sabah dan Sarawak agar sentiasa menguruskan emosi dengan baik serta menjadi kreatif walau bertugas di mana-mana negeri sekalipun.
Katanya lagi, guru baharu perlu cepat belajar dengan persekitaran tempat bertugas dan bercampur dengan masyarakat kerana guru mempunyai tanggungjawab yang besar di kawasan pedalaman.
Mari lihat perkongsian sebelum dan selepas hasil kerja tangan Cikgu Tarmizi.









