Tiada dalil popular di media sosial layak diundi jadi wakil rakyat

0
1

Najamuddin Mohd Nor

TIADA dalil menyatakan pemimpin yang memiliki pengikut ramai di media sosial perlu diundi menjadi wakil rakyat. 

Sehubungan itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Fathul Bari Md Jahya yakin pengundi Johor bijak memilih wakil rakyat yang benar-benar dapat berkhidmat kepada rakyat, bukan kerana populariti.

“Kita bukan nak memilih pemimpin yang hanya pandai berjoget di TikTok, tetapi kita nak memilih pemimpin yang mampu memimpin dan memikirkan soal perancangan ekonomi, pasca pandemik, pendidikan anak-anak serta isu kesihatan. 

“Bukan pengikut ramai di TikTok, Instagram, Facebook dan sebagainya, itu adalah dalil untuk diundi? Tidak!,” katanya ketika ditemui Malaysiapost di Johor Bahru semalam. 

Menurut Dr Fathul Bari, tidak semestinya seseorang memiliki jumlah pengikut yang ramai dengan setiap hantaran dikongsi ribuan netizen itu tahu membuat kerja sebagai pemimpin. 

“Jangan berpandukan hal tersebut, sebab yang akan turun bersama rakyat di bawah kadang-kadang mereka tak perlu pengikut ramai pun. 

“Jangan seronok dengan jumlah pengikut, jumlah like dan jumlah viewer sehinggakan kita terlupa yang kita perlu memilih pemimpin yang benar-benar boleh memimpin kita,” katanya. 

Bagaimanapun, Dr Fathul Bari menegaskan, semua pihak tidak boleh memandang rendah keupayaan parti MUDA yang kali pertama bertanding pada pilihan raya kali ini. 

“Kita tidak boleh memandang rendah keupayaan orang-orang MUDA. Kita nak orang-orang muda bangkit, bertanding, bersuara, dan sebagainya. 

“Tetapi kita pun telah lihat, MUDA ini tidak berpengalaman lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here