PM mahu taman awam berkonsepkan Taman Persekutuan di setiap negeri

0
1

KERAJAAN berhasrat agar setiap negeri mempunyai taman awam berkonsepkan Taman Persekutuan dan dapat meningkatkan akses rakyat kepada kawasan landskap, sekali gus mewujudkan persekitaran hijau yang lebih banyak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia menjadi faktor utama penyumbang kualiti udara rendah karbon, keselesaan persekitaran bandar yang memberi impak kepada peningkatan kualiti persekitaran dan kehidupan Keluarga Malaysia.

“Rakyat menyedari kepentingan landskap dalam persekitaran dan kesejahteraan kehidupan. Taman-taman dan kawasan rekreasi awam telah dijadikan ruang terapi Keluarga Malaysia, dalam usaha meredakan tekanan hidup yang secara langsung, menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan mental dan fizikal.

“Kepentingan landskap sebagai komponen kesejahteraan sosial rakyat dibuktikan dengan peningkatan penggunaan taman taman awam dan ruang landskap di seluruh Negara seperti Taman Persekutuan Bukit Kiara.

“Data menunjukkan jumlah pengunjung ke Taman Persekutuan Bukit Kiara mencatatkan peningkatan 287.10 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya dan ini membuktikan kepentingan taman menjadi ruang rekreasi utama Keluarga Malaysia semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hari Landskap Negara 2022, di Taman Bandar Ekoflora, Johor Bahru, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri dalam ucapan itu juga turut mencadangkan empat perkara diberikan kepentingan, dalam hala tuju pembangunan landskap negara pada masa hadapan.

Ia adalah kerajaan perlu memperkemas sistem jaringan landskap negara; mendaya upaya potensi dan nilai ekonomi industri landskap; melindungi aset landskap Keluarga Malaysia; dan mempertingkat kualiti perkhidmatan landskap negara.

Dalam masa sama, beliau berkata prinsip keseimbangan di antara pembangunan fizikal dan landskap, perlu dijadikan prinsip asas secara berterusan kepada peningkatan kualiti penghasilan, kemampanan persekitaran kehidupan.

“Suka saya cadangkan supaya ia turut didasari dengan peningkatan nilai sosial dan ekonomi kepada Keluarga Malaysia, serta peningkatan nilai aset negara, sama ada dinilai berdasarkan nilai ketara atau nilai bukan ketara.

“Bagi memastikan Keluarga Malaysia mendapat manfaat sepenuhnya, program Landskap Negara perlu diteruskan, dan kepentingan landskap dalam pembangunan negara perlu diperkukuhkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here