YAYASAN Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan pendidikan bernilai RM210,000 kepada 1,400 murid sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di tiga lokasi iaitu di Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam, Selangor.
Menerusi kenyataan, YBL berkata, bantuan itu diberikan sempena pembukaan semula sesi persekolahan serta pembukaan semester di universiti.
“YBR memperuntukkan RM110,000 kepada pelajar daripada kalangan keluarga yang berpendapatan rendah yang menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.
“Manakala, RM100,000 kepada murid sekolah yang bakal memulakan sesi persekolahan yang baru,” menurut kenyataan itu.
YBL berkata, pihaknya berharap inisiatif itu dapat meringan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang telah melanda di seluruh negara.
“Program bantuan seperti ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar IPT serta murid sebelum mendapat mana mana bantuan atau dana dalam meneruskan pengajian sedia ada dan juga sesi persekolahan.
“Bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 bagi persiapan persekolahan diharapkan dapat membantu ibu bapa membuat persiapan awal untuk anak-anak memulakan sesi akademik persekolahan 2022/2023,” katanya.
Untuk rekod, sehingga kini, seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.2 juta sejak 2017.
“Bagi 2022, sejumlah RM1 juta diperuntukan untuk bantuan ini. Manakala seramai 39,397 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah RM2.75 juta,” katanya. – Malaysiapost

