Rakyat tiada kerja tetap, slip gaji boleh beli rumah melalui SJKP – PM

0
1

SYARIKAT Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) memberi kemudahan kepada orang ramai yang mempunyai masalah pembiayaan untuk memiliki kediaman sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata syarikat milik penuh Kementerian Kewangan turut memberi jaminan kredit kepada pembeli terutamanya mereka yang mempunyai masalah slip gaji dan tiada pekerjaan tetap.

Beliau berkata, sebelum ini, pembeli yang tidak mempunyai slip gaji susah untuk membeli rumah kerana masalah pembiayaan.

“Bagaimanapun, selepas ini mereka yang tidak mempunyai slip gaji juga berpeluang membeli rumah kerana syarikat ini (SJKP) adalah memberi jaminan 100 peratus oleh kerajaan.

“Ini adalah usaha kerajaan dalam memastikan rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan slip gaji memiliki rumah sendiri. Ia juga selaras dengan aspirasi ‘1 Keluarga 1 Rumah’ dapat direalisasikan,” katanya seperti dilapor Kosmo Online.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan sesi penyerah kunci kepada pembeli di Residensi Larkin Indah, hari ini.

Ismail Sabri berkata, selari pertumbuhan ekonomi, perumahan juga menjadi keperluan kehidupan yang mendesak bagi Keluarga Malaysia.

“Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat Covid-19, harga rumah masih dianggap terlalu mahal dan sukar dimiliki oleh golongan muda, khususnya.

“Justeru kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) menggariskan langkah segera dan jangka panjang yang perlu diambil untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Residensi Larkin Indah mempunyai 1,174 unit kediaman yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna, pejabat pengurusan, tadika, taska, taman permainan dan kawalan keselamatan 24 jam.

Sehingga kini, sebanyak 337 unit residensi ini telah terjual dan sebanyak 642 unit lagi sudah ditempah pembeli. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here