Principal hutang 1MDB masih belum dibayar – Tengku Zafrul

0
1

SEHINGGA hari ini prinsipal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM32.3 bilion masih belum dibayar, jelas Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun faedah hutang berkenaan sebanyak RM6.5 bilion sudah mula dibayar.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa tiada satu sen pun prinsipal hutang 1MDB yang sudah dibayar oleh kerajaan sebelum ini.

“Setakat akhir bukan ini, kalau dilihat kadar tukaran wang asing (USD1 – RM4.20) sekarang baki komitmen hutang 1MDB adalah kira-kira RM38.8 bilion dengan prinsipalnya adalah RM32.3 bilion dan faedahnya adalah sebanyak RM6.5 bilion

“Jadi dakwaan bahawa belum lagi bayar prinsipal hutang 1MDB ini adalah tidak berasas memandangkan prinsipal hutang-hutang tersebut hanya akan matang lambat lagi,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan soalan tambahan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, prinsipal hutang-hutang 1MDB adalah merangkumi bon terbitan 1MDB Enegry Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd bernilai RM7.35 bilion, bon terbitan 1MDB Global Investment Ltd sebanyak RM12.6 bilion dan sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note) bernilai RM5 bilion.

“Jadi RM32.3 bilion ini dia punya tarikh matang antara tahun 2022 hinggalah 2039 jadi belum lagi dibayar prinsipal.

“Tetapi kita sudah mula membayar faedahnya setakat itu sahaja,” katanya.

Najib dalam ucapannya ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih atas titah diraja Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, semalam berkata, hutang 1MDB tidak sewajarnya digunakan sebagai alasan mengenai keadaan kewangan negara yang teruk.

Beliau mendakwa hakikatnya satu sen pun hutang 1MDB tidak pernah dibayar oleh kerajaan sebelum ini.

Najib juga berpendapat, adalah tidak betul mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here