Polis siasat skim pelaburan tidak wujud

0
1
Polis Di Raja Malaysia

JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) kini sedang menjalankan siasatan terhadap kes penipuan membabitkan dua skim pelaburan yang setakat ini sudah mengakibatkan kerugian lebih RM800,000.

Pengarah JSJK Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata dua skim pelaburan itu dikenali sebagai Al Kahtifah Trust dan Madinah Mining.

“Setakat ini, 38 kertas siasatan telah dibuka berkait skim pelaburan Al Kahtifah Trust membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM468,870.

“Manakala bagi skim pelaburan Madinah Mining pula sebanyak 28 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kerugian sebanyak RM343,282,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, kedua-dua skim pelaburan itu dikesan mulai aktif sejak penghujung tahun 2021 dan menggunakan platform media sosial untuk mencari pelabur.

“Pakej yang ditawarkan adalah serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100 peratus dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.

“Bagi menyakinkan pelabur, penganjur pelaburan itu mendakwa skim yang ditawarkan adalah patuh syariah dan mempunyai kelulusan dari Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis memberi jaminan siasatan terperinci akan dilaksanakan bagi memastikan ahli sindiket ini dapat dituduh di mahkamah.

“Dalam usaha membanteras kegiatan penipuan pelaburan, polis mengingatkan orang ramai untuk memberikan perhatian dan melaksanakan semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.

“Terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan dan dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” katanya.

Terdahulu, Pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman dalam satu sidang media, mendakwa namanya digunakan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.

Beliau yang juga suami kepada selebriti, Datin Seri Heliza Helmi itu berkata, akibatnya, beliau dan syarikat menerima banyak kiriman mesej daripada mangsa yang mendakwa menanggung kerugian akibat ditipu sindiket berkenaan.

Menurutnya, antara akaun media sosial yang menggunakan namanya adalah Al Kahtifah Trust, Aurora Mining Team, Al-Dagang Malaysia, Bijak Labur, Madinah Mining, Pelaburan Al-Marzuqi, MoneyStone dan Xafee Trade. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here