
CALON Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Selamat Ujud yakin pendekatan digunakan dapat meraih undi orang muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat.
Menurutnya, golongan muda berusia antara 18 hingga 21 tahun ini perlu diberi kesedaran tentang situasi sebenar kehidupan hari ini.
“Orang muda ni memang sukar dijangka, golongan ni tidak mengadaptasi sesuatu itu secara mendalam. Dan ada masih tanggungan keluarga lagi.
“Umur 18 tahun dalam tanggungan keluarga tiba-tiba nak buat keputusan. Rasanya itu agak sedikit payah.
“Tapi bagi pengundi baru ini yang telah bekerja, baru mereka akan tahu sebenarnya begini keadaan kehidupan dengan banyak kesempitan,” katanya kepada Malaysiapost.
Selamat, 59, yang juga pesara guru menegaskan, PN dan Pas sentiasa menitip beratkan kebajikan rakyat.
“Kebajikan rakyat menjadi keutamaan saya selari dengan PN. Sememangnya PN ketika memerintah dulu memang sentiasa memberi kebajikan, konsisten memberi pelbagai inisiatif kepada rakyat ketika pandemik Covid-19 melanda.
“Jika saya diberi kesempatan, diamanahkan menjadi wakil rakyat, saya akan mengenali, meresapi denyut nadi rakyat di Tanjung Surat. Pastinya kebajikan menjadi keutamaan saya,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini, Selamat berdepan tentangan empat penjuru di DUN Tanjung Surat yang turut ditandingi Ketua Pemuda Umno Pengerang, Aznan Tamim bagi Barisan Nasional (BN). – Malaysiapost
