Lokman Adam nafi fitnah KJ isu vaksin, hanya tuntut penjelasan

0
2
Datuk Lokman Adam

DATUK Lokman Noor Adam menafikan beliau memfitnah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung isu vaksin Covid-19.

Sebaliknya, beliau mendakwa meminta Khairy memberi penjelasan kepada masyarakat berkaitan perkara berkenaan kerana ia merupakan kepentingan awam.

Lokman, 49, menerusi pernyataan pembelaan difailkan semalam mendakwa, beliau bukanlah seorang antivaksin dan pernyataan-pernyataan yang dikeluarkannya mempunyai justifikasi dan komen yang adil, lapor Sinar Harian.

“Saya menegaskan bahawa pernyataan-pernyataan yang dipersoalkan oleh plaintif (Khairy) bukanlah fitnah kerana ia hanya untuk menggesa beliau memberi penjelasan dan penerangan berkenaan isu viral.

“Yang mana terdapat rakaman video menunjukkan vaksin yang ingin diberikan kepada penerima vaksin telah tamat tempoh luput,” dakwa Lokman menerusi pernyataan pembelaan itu bagi menjawab saman yang difailkan Khairy terhadapnya.

Lokman selaku defendan mendakwa beliau mempunyai tanggungjawab secara sosial dan moral untuk memaklumkan kepada orang ramai berkenaan isu vaksin itu bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

Terdahulu, Khairy memfailkan saman fitnah terhadap Lokman berhubung isu vaksin Covid-19 yang dimuat naik di media sosial.

Khairy, 46, selaku plaintif memfailkan dua saman itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menerusi Tetuan Rashid Zulkifli pada 25 Januari lalu, dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari lalu, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah dalam itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here